BOT nelayan yang ditahan kerana mrlanggar syarat lesen. FOTO ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan bersama dua tekong dan dua awak-awak warga Myanmar di kedudukan dua batu nautika barat laut Pulau Pangkor, Lumut, malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam itu, kedua-dua bot nelayan berkenaan dipercayai berpangkalan di Pantai Remis dan ketika ditahan semua nelayan warga asing itu sedang menangkap ikan.

Pengarah Maritim Daerah Maritim 3 Lumut, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, warga asing terbabit ditahan atas kesalahan melanggar syarat lesen yang ditetapkan.

Menurutnya, mereka ditahan sepasukan anggota bot pengawal 17 yang diketuai Bintara Maritim Zulhardi Zabidin ketika menjalankan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar perairan negara.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot berkenaan menjalankan aktiviti menangkap ikan yang melanggar syarat yang dinyatakan di dalam lesen iaitu mengaji warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Semua kru warga Myanmar yang berusia antara 25 hingga 38 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut dan mereka bersama bot kemudian dibawa ke jeti Kampong Acheh, " katanya dalam satu kenyataannya di Lumut, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan APMM akan bertindak tegas terhadap mana-mana bot nelayan tempatan yang didapati melanggar syarat lesen menangkap ikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 11:10 AM