AHMAD Fitri (tengah) diiringi pegawai kastam selepas dijatuhi hukuman denda. FOTO Sharul Hafiz Zam
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


PENGARAH syarikat pembinaan didenda RM6,000 atas enam pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh ditetapkan bagi April hingga November 2015 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.

Tertuduh, Ahmad Fitri Zainol Abidin, 53, pengarah syarikat Iliasco Corporation Sdn Bhd dikenakan denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan dan turut berdepan hukuman tiga bulan penjara bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.

Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman terbabit selepas Ahmad Fitri mengaku bersalah atas enam pertuduhan yang dibacakan secara berasingan apabila gagal mengemukakan penyata GST kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia.

Kesalahan terbabit dilakukan di Stesen Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kompleks Kastam, Persiaran Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, pada 29 Jun dan 31 Januari 2015 dan empat lagi kesalahan dilakukan pada 31 Januari 2016.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 41 (6) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Mohd Ridhauddin Jamaluddin manakala Ahmad Fitri tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 2:30 PM