Tinjauan harga ikan di Pasar Chow Kit.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Alasan bekalan kurang dan pemborong menetapkan harga menjadi ‘modal’ peniaga untuk menaikkan harga bahan mentah seperti ikan, udang, ketam dan sotong, sekali gus membebankan pengguna yang menanggung kos sara hidup semakin meningkat.

Malah, peniaga seolah-olah mempunyai alasan tersendiri menaikkan harga bahan mentah berkenaan apabila sebelum ini ia melambung akibat musim perayaan dan terkini mereka menyalahkan pula pemborong.

Ironinya tindakan mereka itu dilihat mahu mengekalkannya pada harga tinggi tanpa memikirkan kesan terhadap rantaian makanan lain yang kemungkinan turut menaikkan harga jualan masing-masing.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Besar Kuala Lumpur dan Jalan Chow Kit mendapati harga dijual peniaga masih tinggi dan tidak menunjukkan penurunan.

Kebanyakan peniaga ditemui memberikan alasan harga ditetapkan pemborong mahal menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan menjual bahan mentah itu pada kadar lebih tinggi.

Peniaga ikan Halim Suleiman berkata, sememangnya harga ikan, sotong, udang dan ketam meningkat daripada kadar biasa disebabkan bekalan berkurangan selain ia ditetapkan pemborong.

“Kami hanya untung sedikit sahaja kerana bekalan diperoleh turut dijual pada harga tinggi dan kenaikan harga bahan mentah itu sememangnya tidak dapat dielakkan,” katanya, ketika ditemui, di sini.

Seorang lagi peniaga ikan, Hashim Saad, 35, berkata, harga diperoleh daripada pemborong tinggi sejak awal Ramadan lalu.

“Peniaga sering menjadi mangsa dan dipersalahkan apabila harga bahan mentah terbabit melambung walaupun pada hakikatnya ia ditentukan orang tengah,” katanya yang berniaga ikan di Pasar Chow Kit sejak lima tahun lalu.

Sementara itu, suri rumah Ridhatul Nadia Abu Samah,37, berkata, dia terpaksa membeli bahan mentah berkenaan di pasar raya yang dijual lebih murah daripada pasar.

“Saya terkejut apabila ikan kembung yang sebelum ini berharga RM16 hingga RM18 kini dijual pada harga RM22 sekilogram,” katanya, ketika ditemui, di sini.

Selain itu, Isa Abdullah, 40, berharap pihak berkaitan melakukan pemantauan dengan lebih kerap seterusnya mengambil tindakan terhadap pihak yang sengaja menaikkan harga bahan mentah hingga membebankan pengguna.

“Jika pihak berkaitan tidak mengambil tindakan pasti peniaga dan pemborong terus menekan pengguna dengan menaikkan harga sesuka hati tanpa alasan munasabah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 6:33 AM