API marak membakar rumah dan kereta milik keluarga Cham di Kampung Sirako, semalam.
Safuri Kamarudin


Baling: “Ketika kejadian, saya berada di belakang rumah sebelum terkejut terdengar letupan kuat disusuli api marak di tingkat atas rumah menyebabkan saya menjerit dan berlari masuk untuk menyelamatkan nenek yang mandi.”

Begitu kata Cham Riang Punyavan, 22, menceritakan detik cemas rumah dua tingkat keluarganya di Kampung Sirako, Pulai, di sini, musnah dalam kebakaran yang turut menyebabkan dua kereta dan dua motosikal di garaj terbakar jam 6.20 petang kelmarin.

Cham berkata, ketika kejadian itu, dia bersama nenek, Prom Din Tom, 85, berada di rumah manakala bapa, Usa Din Om, 63, dan ibu, Ekelem Din Chai, 55, keluar ke rumah saudara untuk mengambil ubat ibunya yang kurang sihat.

“Mujur waktu kejadian saya berada di rumah sambil menemani nenek dan tidak menyangka kejadian buruk berlaku sekelip mata.

“Saya tidak dapat bayangkan apa terjadi pada nenek yang keseorangan di dalam rumah, tambahan dia juga uzur,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, rumahnya musnah sekelip mata dan tidak sempat menyelamat apa-apa barangan termasuk dokumen penting.

“Kebakaran turut memusnahkan kereta Perodua Kancil dan Proton Saga Orient serta motosikal Yamaha dan Honda C70 yang berada di dalam garaj,” katanya.

Katanya, buat sementara ini, mereka menumpang di rumah saudara berdekatan di kampung itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Baling Samsari Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.34 petang sebelum sepasukan anggota bersama jentera dihantar ke lokasi.

“Kami mengawal kebakaran daripada merebak 20 minit kemudian,” katanya.

Menurutnya, kemungkinan berlaku litar pintas, namun pihak bomba menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian dan nilai kerugian.

Dalam pada itu, Pejabat Parlimen Baling, Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang, Pejabat Daerah Baling dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memberi bantuan segera barangan makanan dan wang tunai kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 7:41 AM