Lizam Ridzuan


NAZA Italia sebagai pengimport dan pengedar rasmi Ferrari di Malaysia memperkenalkan model edisi terhad LaFerrari Aperta di Kuala Lumpur, hari ini.

Ia bersempena sambutan ulang tahun ke-70 jenama itu di seluruh dunia dengan pelbagai aktiviti diadakan buat pemilik Ferrari.

Siri istimewa versi spider ini didatangkan dengan enjin 6,262cc V12 dan hibrid pertama dihasilkan Ferrari mampu menghasilkan 120 kW dengan motor elektrik.

Ketua Pegawai Operasi Naza Italia, Farid Sulaiman berkata, model ini hanya dikeluarkan 209 unit di seluruh dunia dan Malaysia antara negara yang ditawarkan.

"Model ini khas buat pelanggan setia yang hanya boleh dimiliki buat mereka yang mempunyai enam Ferrari ke atas untuk dipertimbangkan pembelian LaFerrari Aperta ini," katanya ketika pelancaran.

Model ini dijual pada harga bermula daripada RM6.8 juta dan dua pembeli dari negara ini berjaya mendapatkannya serta bakal menerima model ikonik ini pada awal tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 12:10 PM
FARID (kanan) bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza World, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin (dua kanan) melancarkan model edisi terhad LaFerrari Aperta. FOTO Lizam Ridzuan