Zamihan
Zamihan
Muhammad Saufi Hassan


Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) menggesa kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) serta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan kepada individu tertentu yang sengaja memperlekehkan Islam terutamanya di media sosial.

Presiden ASWAJA Dr Zamihan Mat Zin berkata, JAIN serta pihak berkuasa wajar mengambil tindakan terhadap mereka bagi menjaga ketinggian agama Islam sebagai agama persekutuan.

"Kita lihat sekarang, wujud individu atau pihak tertentu yang sengaja melontarkan pandangan secara membuta tuli tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat Islam.

"Lebih menyedihkan bahawa kebanyakan 'pandangan jahat' ini dizahirkan sendiri oleh orang Islam yang mempunyai aliran pemikiran liberal," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui, di sini, hari ini.

Zamihan berkata, kelompok ini sengaja mengeluarkan pandangan seperti hukuman rotan di khalayak ramai sebagai 'hiburan' dan beberapa lagi kenyataan liar semata-mata untuk merealisasikan tujuan iaitu ingin Islam yang liberal.

Beliau berkata, pihak berkuasa wajar mengambil tindakan kepada kelompok ini kerana jelas memperlekehkan Islam dan bersifat prejudis kepada agama suci itu.

"Jika tiada tindakan diambil, kelompok ini akan merasa 'kebal' dan pastinya, lebih banyak lagi kenyataan liar akan dibuat.

"Kita tidak mahu keadaan ini berterusan. Perlu ada ketegasan daripada pihak berkuasa," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 12:34 PM