Mohd Hasbi Sidek


AGENSI Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menghantar bekalan perubatan dalam misi kemanusiaan ke Marawi, Filipina yang kini menghadapi konflik peperangan.

Pesawat Airbus A400M yang menghantar bekalan berkenaan berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang kira-kira 6 pagi tadi.

Ketua Pengarah Cawangan Operasi Pertahanan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brigadier Jeneral Datuk Mahendra Sivapatha Sundram berkata, 16 tan bekalan perubatan diterbangkan ke daerah bergolak itu.

"Seramai 19 anggota dan pegawai dari NADMA dan TUDM termasuk dua juruterbang terbabit dalam misi menghantar bantuan ini.

"Pesawat dijangka tiba di daerah Cagayan pada 11 pagi sebelum barang bantuan dipunggah keluar dan ia akan diagihkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) di sana," katanya.

Beliau berkata, pesawat akan berlepas pulang sebaik barang dibawa turun.

Marawi kini dalam keadaan bergolak apabila tentera kerajaan bertempur dengan militan yang mempunyai hubungan dengan Daish.

Tentera Filipina berusaha menumpaskan militan di pusat bandar Marawi sejak 59 hari lalu sementara operasi menentang kumpulan Abu Sayyaf yang giat melakukan penculikan dan kegiatan lanun masih diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 7:04 AM
BEKALAN perubatan dibawa ke dalam pesawat. FOTO Muhammad Sulaiman