Ahmad (tengah) menunjukkan dua senjata api jenis bakakuk yang dirampas. FOTO ihsan polis
Junaidi Ladjana


LELAKI maut selepas terkena tembakan senjata api buatan sendiri jenis bakakuk yang dilepaskan sepupunya ketika memburu di hutan Estet Sungala, Sook, Keningau, 17 Julai lalu.

Dalam kejadian 6 pagi itu, Christianus Lukas, 38, maut di lokasi kejadian akibat kesan tembakan di dada dan perut.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Ahmad Jawila berkata, mangsa, sepupu, bapa saudara dan seorang lagi rakan memburu di hutan Estet Sungala, Sook.

"Mereka berpecah manakala rakan mangsa pulang ke rumah. Ketika sedang memburu, sepupu mangsa melepaskan tembakan selepas mendapati ada pergerakan di hadapan.

"Sebaik diperiksa, dia terkejut apabila tertembak mangsa. Ketika itu mangsa mengerang kesakitan sebelum meninggal dunia," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau, hari ini.

Ahmad berkata, suspek cuba mengangkat mangsa tetapi gagal dan berlari ke arah bapanya.

"Mereka kemudian ke rumah ketua kampung dan memaklumkan kejadian seterusnya melaporkan kepada polis.

"Pemeriksaan di lokasi kejadian menemui selaras bakakuk berhampiran dengan mangsa. Polis merampas selaras lagi bakakuk daripada suspek yang dipercayai digunakan ketika kejadian itu," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati punca kematian mangsa hasil bedah siasat oleh pihak Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu disebabkan tembakan peluru.

"Tiga butir peluru dirampas daripada suspek manakala dua butir peluru ditemui di poket jaket mangsa," katanya.

Ahmad berkata, suspek berusia 37 tahun direman selama tujuh hari sehingga 24 Julai mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 5:33 PM