DR Subramaniam (tengah) beramah mesra dengan orang ramai yang menghadiri pameran Hari Denggi ASEAN.
Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


Georgetown: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) positif dalam mencari mekanisme terbaru menghapuskan pembiakan nyamuk aedes dalam usaha memerangi denggi.

Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, sejak Februari lalu, satu kaedah terbaru pelepasan nyamuk yang mengandungi mikro-organisma Wolbachia dilaksanakan.

Beliau berkata, suntikan ke dalam telur nyamuk dilihat satu cara positif dan buat masa ini hanya dua lokasi dijadikan projek perintis iaitu di Selangor membabitkan kawasan di Seksyen 7, Shah Alam dan AU2, Keramat.

Katanya, selepas hampir lima bulan tempoh percubaan itu, tiada lagi laporan penuh diperoleh namun ia menampakkan hasil positif bagi tempoh dua atau tiga tahun lagi.

“Percubaan ini untuk menggantikan kaedah terdahulu yang menelan kos tinggi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Hari Denggi ASEAN 2017 di Penang Free School, di sini, semalam.

Sambutan Hari Denggi ASEAN disambut pada 15 Jun setiap tahun dan ini tahun ketujuh ia disambut dengan tema Bersepadu Membanteras Denggi.

Pada masa sama, Subramanian berkata, sepanjang Januari dan 15 Julai ini, pihaknya merekodkan 53,750 kes denggi berdarah di seluruh negara dengan 122 kematian berbanding 61,534 kes dan 135 kematian pada tempoh sama tahun lalu.

“Biarpun mencatatkan penurunan kes namun tindakan bersepadu semua pihak amat diperlukan, selain itu ia dapat menjamin kejayaan pencegahan denggi.

“Kami juga memperkasakan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) dalam melaksanakan aktiviti pencegahan seperti gotong royong dan penghapusan tempat pembiakan nyamuk aedes di premis kediaman.

“Sehingga kini 3,802 pasukan Combi dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 63,000 sukarelawan dan kami percaya jumlahnya bertambah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 10:51 AM