Mangsa yang cedera menerima rawatan awal oleh anggota APM. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli


KANAK-kanak perempuan berusia 11 tahun cedera di kaki kanannya selepas disengat obor-obor ketika bermain air di tepi Pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian 3 petang itu, Sharifa Ramada Omar dikatakan bersama ahli keluarganya beriadah di pantai sebelum mengadu sakit di kaki.

Pegawai Perhubungan Awam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah

Abdul Razaq Basir berkata, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan bantuan kecemasan selepas menerima aduan.

"Sepasukan anggota yang bertugas kemudiannya mendapatkan kanak-kanak itu lalu membawa mangsa ke menara penyelamat Pantai Tanjung Aru.

"Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai disengat obor-obor ketika bermain air laut di tepi pantai berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal dengan semburan cuka bagi menghilangkan bisa sengatan.

Menurutnya, kanak-kanak itu sudah dibawa oleh ahli keluarganya ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk menerima rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 1:26 PM