X
NANCY (kanan) diiringi Dr Mohd Yusoff (kiri) ketika hadir Majlis Rumah Terbuka Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia dan Teknologi Tinggi (MIGHT) di Cyberjaya.
NANCY (kanan) diiringi Dr Mohd Yusoff (kiri) ketika hadir Majlis Rumah Terbuka Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia dan Teknologi Tinggi (MIGHT) di Cyberjaya.
myMetro

Cyberjaya: Pindaan undang-undang bagi menjadikan perkhidmatan e-hailing (e-panggilan) seperti Grabcar dan Uber sebagai sah di negara ini dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pindaan itu membabitkan RUU Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987.

“Niat kerajaan adalah membantu pemandu teksi terutama berkaitan isu pendapatan mereka yang terjejas selepas kewujudan Grab dan Uber, kita tidak mahu meminggirkan sesiapa.

“Jadi, kami mahu mereka bekerjasama, malah pemandu teksi juga boleh untung kerana mendapat manfaat menerusi e-hailing selain mengambil penumpang di jalanan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman.

Sehubungan itu, Nancy berkata, pihaknya meminta pengusaha Grabcar dan Uber bekerjasama dengan pemandu teksi mengenai perkara itu.

Malah, katanya, beliau turut dimaklumkan mereka sudah mengadakan pertemuan dan perbincangan beberapa kali termasuk dengan persatuan teksi di Sabah dan Melaka baru-baru ini.

Nancy berkata, maklumat lanjut mengenai pindaan RUU berkenaan akan dimaklumkan ketika pembentangan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 5:49 AM
Digital NSTP Subscribe