Jemaah lelaki dan wanita dibawa melawat sekitar Masjid Nabawi. FOTO Nasharuddin Muhammad
Jemaah lelaki dan wanita dibawa melawat sekitar Masjid Nabawi. FOTO Nasharuddin Muhammad
Nasharuddin Muhammad


PROGRAM Ziarah disediakan Unit Bimbingan dan Ziarah untuk jemaah haji memberi peluang kepada mereka meneroka lokasi menarik dan bersejarah di sekitar Kota Suci Madinah.

Pengurus Ibadat Madinah 1438 Hijrah Mohd Razali Zakaria berkata, program berkenaan antara nilai tambah disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk jemaah.

Menurutnya, program itu dibahagikan kepada dua iaitu Ziarah Dalam dan Ziarah Luar.

Katanya, Ziarah Dalam membabitkan lawatan dalam Masjid Nabawi termasuk peluang menziarahi Makam Rasulullah SAW serta dua sahabat baginda iaitu khalifah pertama Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan khalifah kedua Saidina Umar Al-Khattab.

Beliau berkata, selain menziarahi ketiga-tiga makam berkenaan, jemaah juga berpeluang untuk melawat ruang istimewa dalam Masjid Nabawi iaitu Raudhah atau Taman Syurga.

"Jemaah diharap tidak melepaskan peluang untuk melawat Raudhah dengan berdoa atau menunaikan solat sunat di dalamnya," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Selain itu, katanya, jemaah juga berpeluang melawat kawasan perkuburan Al-Baqi' yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi.

Antara keistimewaan perkuburan berkenaan adalah ia turut menjadi lokasi persemadian khalifah ketiga Saidina Uthman Al-Affan.

Yang lain termasuk Saidina Ibrahim dan Saidatina Ruqaiyyah, putera dan puteri baginda, para isteri serta sahabat baginda.

Mohd Razali berkata, bagi Ziarah Luar pula, antara lokasi yang akan dilawati jemaah adalah Masjid Quba iaitu masjid pertama yang dibina Rasulullah, makam shuhada Perang Uhud di Bukit Uhud dan sekitarnya termasuk Bukit Pemanah, Masjid Qiblatain atau Masjid Dua Kiblat serta Masjid Tujuh yang menjadi lokasi Perang Khandak.

Menurutnya, bagi Program Bimbingan pula, ia bertujuan membantu jemaah untuk melaksanakan ibadat mereka dengan tertib dan sempurna.

Malah, katanya, program bimbingan berkaitan ibadat haji yang disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk jemaah muassasah hampir setaraf dengan yang disediakan kepada jemaah pakej swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 12:56 PM