GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nursyahirah Marzuki


KRISIS dalaman yang berlaku dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan menjejaskan aktiviti dan program Unit Pasukan Tindakan Khas (PTK) JPJ.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, penubuhan unit PTK yang diperkenalkan tahun lalu itu masih penting dalam pentadbiran jabatan berkenaan.

"Kita masih memerlukan pasukan PTK dan ia sangat penting untuk berhadapan dengan pelbagai aktiviti sindiket terutama apabilamembabitkan unsur jenayah.

"Pegawai JPJ biasanya berdepan sedikit kesukaran untuk bertindak dan menangani masalah ini kerana mereka tidak mempunyai senjata," katanya ketika ditemui di Kementerian Pengangkutan Putrajaya, hari ini.

Katanya, unit PTK sudah berjaya menyelesaikan beberapa isu tonto dalam masa yang singkat dan ketika ini pasukan itu sedang bergerak dalam menangani isu tayar celup.

"Setiap anggota PTK ini dilatih dan diberikan senjata untk menjaga keselamatan semasa menjalankan tugas penguatkuasaan.

"Oleh itu, kita dapati pasukan ini masih penting supaya mereka dapat mengambil tindakan yang membabitkan jenayah dan mereka akan fokus kepada aktiviti sindiket membabitkan kementerian dan jabatan.

"Malah, kita juga akan terus memperkasakan pasukan ini dan saya rasa tiada isu untuk menggantung mana-mana pasukan," katanya.

Jumaat lalu, JPJ dalam satu kenyataan berkata, operasi PTK digantung buat sementara waktu susulan tindakan tiga anggotanya yang memecah masuk pejabat Ketua Pengarah JPJ di Presint 4, Putrajaya pada 13 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 9:03 PM