PASUKAN Silat Remaja Kedah selepas acara penyerahan bendera sempena Kejuaran Silat Remaja Kebangsaan Ke-9 yang akan diadakan di Baling, Kedah pada 1 hingga 4 Ogos ini. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail
sukan@hmetro.com.my


KEDAH menyasarkan 10 daripada 38 pingat emas dipertandingkan pada Kejuaraan Silat Remaja Kebangsaan Ke-9 yang akan diadakan di Kompleks Rakan Muda, Baling, bermula pada 1 hingga 4 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan negeri, Datuk Aminuddin Omar berkata, semasa pertandingan di Pahang pada 2015, Kedah meraih empat pingat emas dan kali ini pihaknya mahu pesilat negeri Jelapang Padi itu terus mempamer aksi cemerlang.

Beliau berkata, pihaknya yakin atlet muda silat negeri itu mampu untuk meraih 10 pingat emas pada kejuaraan dwi tahunan itu.

"Kedah yang sinonim dengan acara pencak silat dan tidak pernah ketandusan pesilat muda yang berbakat yang bakal menonjol dalam kejuaraan kali ini.

"Kita mengharapkan kejayaan paling bermakna pada kejuaraan kali ini tambahan diberi penghormatan sebagai tuan rumah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bendera sempena pelepasan kontinjen ke kejohanan berkenaan di Stadium Sultan Abdul Halim Suka Menanti (SSAH) Alor Setar, hari ini.

Menurut Aminuddin, selaku tuan rumah Kedah bakal menghantar 38 atlet pesilat iaitu 20 lelaki dan 18 wanita daripada keseluruhan 760 pesilat yang mengambil bahagian mewakili 14 negeri dan tiga badan pendiri dari seluruh negara.

Majlisini turut dihadiri oleh Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Kedah Datuk Mohd Arpan Shari; Ketua Unit ELIT Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah, Amirul Nidzam Mahadzir dan Pengurus Pasukan Silat Remaja Kedah, Wafi Yusuf.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 4:06 PM