Antara GRO yang ditahan. FOTO ihsan polis
Izlaily Nurul Ain Hussein


SERAMAI 54 GRO warga asing ditahan dalam serbuan serentak di beberapa pusat hiburan di sekitar Johor Bahru, tengah malam tadi.

Dalam Op Noda bermula 12.30 tengah malam tadi, polis turut menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang mengaku sebagai pengurus premis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, wanita yang disyaki bekerja sebagai GRO itu terdiri daripada tujuh China, Vietnam (46) dan seorang warga Indonesia yang semuanya berusia antara 19 hingga 40 tahun.

"Polis turut memeriksa 201 lelaki tempatan, 96 wanita tempatan, tiga lelaki warga Jepun, dua wanita Singapura dan lima lelaki warga India berusia antara 18 hingga 60 tahun yang mengunjungi pusat hiburan berkenaan.

"Pengurus premis yang ditahan dalam operasi ini akan diambil tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan menggaji dan melindungi pekerja asing tanpa permit kerja sah.

"Sasaran dalam operasi ini ialah pusat hiburan yang disyaki menawarkan perkhidmatan GRO yang terdiri daripada wanita warga asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 12:19 PM