Gambar yang tular dalam FB sejak malam tadi. FOTO ihsan pembaca
Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my


GABUNGAN Persatuan Teksi Berdaftar (GAPET) Johor Bahru kecewa dengan tindakan seorang pemandu teksi di bandar raya ini yang membawa seekor anjing di kenderaan itu.

Presiden GAPET, Raja Mohd Noor Mohamad berkata, pihaknya terkilan dengan perbuatan lelaki berkenaan yang dirakam dan ditular oleh pengguna jalan raya.

Beliau berkata, gambar berkenaan dirakam berhampiran Pulai menunjukkan seekor anjing berada di dalam teksi berkenaan.

"Perbuatannya boleh mencalar imej baik kumpulan pemandu teksi di bandar raya ini.

"Pemandu teksi seharusnya mematuhi peraturan ditetapkan termasuk binatang tidak dibenarkan di dalam kenderaan dipandu.

"Ia boleh menjejaskan sensitiviti, keselesaan serta mencemari kenderaan berkenaan," katanya.

Gambar terbabit tular sejak malam tadi di Facebook (FB) hingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 3:45 PM