Pasukan keselamatan menjalankan operasi memusnahkan bom yang ditemui nelayan. FOTO ihsan TLDM


MARKAS Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1) Kuantan, Pahang dengan bantuan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan Pemusnah Ordnans dan Letupan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memusnahkan sebutir bom di Sungai Paya Mengkuang, Endau, Mersing, Johor, 11.24 pagi ini.

MAWILLA 1 dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Timbalan Pengerusi Nelayan Endau pada 10.45 pagi semalam, selepas seorang nelayan menemui satu objek di dalam pukat di perairan Endau.

Katanya, MAWILLA 1 menasihatkan nelayan menjauhkan diri dari bom berkenaan dan membuat laporan di balai polis berhampiran.

"Pada masa sama, tiga pegawai dan anggota pasukan Pemusnah Ordnans dan Letupan TLDM serta pegawai MAWILLA 1 yang mempunyai kepakaran dalam bahan letupan dikejarkan ke Jeti Vista, Jalan Datuk Mohd Ali, Endau, Mersing.

"Pasukan berkenaan dikejarkan ke lokasi bagi membantu PDRM mengenal pasti objek dipercayai Mine Disposal Charge dan berkongsi maklumat dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," katanya.

Menurutnya, kerja memusnahkan bom pada 11.24 pagi hari ini berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 4:47 PM