TRANSFORMASI yang berlaku di Tasik Kenyir, Kuala Berang terutamanya dengan pembukaan operasi zon bebas cukai mampu menjadikan destinasi eko-pelancongan itu antara kawasan tumpuan di Terengganu.


Penginapan di Tasik kenyir. FOTO Ghazali Kori

Pembukaan operasi jualan zon bebas cukai yang akan disempurnakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman pada Selasa ini di Dataran Gawi menjadikannya sebagai produk terbaru untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara ke kawasan itu.

Fasa pertama zon bebas cukai berkenaan akan menjadi lembaran baru selepas kawasan yang cukup dikenali sebagai lubuk kepada kaki pancing serta pencinta flora dan fauna sebelum ini.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) Omar Ismail berkata, ia adalah langkah pertama Tasik Kenyir tampil sebagai kawasan bebas cukai seperti yang pernah diumumkan kerajaan negeri.

Menurutnya, fasa pertama membabitkan Pengkalan Gawi dan Pulau Poh manakala untuk fasa kedua pula kompleks bebas cukai di Pulau Bayas.


KOMPLEKS Bebas Cukai di Pulau Bayas dalam proses pembinaan. FOTO Ghazali Kori

"Ia adalah antara produk baru yang terdapat di Tasik Kenyir ini selain produk semula jadi dan juga produk tarikan yang sedia ada serta sedang ditambah baik," katanya.

Omar berkata demikian selepas Program Kenali Kenyir 02 Bersama Media Terengganu yang diadakan selama dua hari di tasik berkenaan, baru-baru ini.

Tasik Kenyir merupakan tasik terbesar yang pernah dibina oleh manusia untuk menjana kuasa elektrik di Asia Tenggara seluas 260 kilometer persegi dan memiliki 340 pulau kecil.

Sebelum ini, ia menjadi tarikan kepada pelancong kerana bukan hanya dapat memancing tetapi turut mempunyai 14 air terjun, jeram, hutan simpan, gua.

Menurut Omar, zon bebas cukai berkenaan menjadi nilai tambah kepada produk sedia ada di tasik berkenaan kerana kawasan berkenaan sudah mempunyai keunikannya tersendiri.

"Kita sudah mempunyai produk semula jadi seperti Air Terjun Tembat, Air Terjun Saok dan paling popular Air Terjun Lasir yang cukup dikenali sebagai kawasan air terjun yang tercantik di negara ini.


AIR Terjun Lasir menyamankan. FOTO Ghazali Kori

"Selain itu, produk semula jadi di Tasik Kenyir juga mempunyai sejarahnya tersendiri seperti Gua Bewah yang menjadi penempatan manusia Zaman Mesolitik iaitu kira-kira 16,000 tahun lalu.

"Begitu juga dengan Gua Taat yang terletak berhampiran Gua Bewah yang turut ditemui penemuan fosil dan pisau batu dipercayai tinggalan manusia Zaman Mesolitik," katanya.

Menurutnya, bagi produk tarikan pula Tasik Kenyir mempunyai Santuari Kelah yang cukup popular kepada pengunjung terletak di Sungai Petang iaitu kira-kira 21 kilometer dari Pengkalan Gawi.

Katanya, bagi menjaga ikan untuk pembiakan serta pengekalannya hanya dibenarkan 100 orang melawat dan bermain dengan ikan terbabit setiap hari.

"Kita akui jumlah pengunjung dibenarkan ke situ tidak cukup kerana permintaannya cukup tinggi terutama pada musim cuti, berikutan itu dua lagi lubuk kelah di kawasan Sungai Petang akan dibuka dan kini dalam proses untuk menjinakkannya.


PENGUNJUNG boleh bermain dengan ikan kelah di Santuari Kelah. FOTO Ghazali Kori

"Selain itu, terdapat Kampung Konservasi Gajah Kenyir (KECV) yang kini mempunyai 18 ekor haiwan itu termasuk mengadakan pertunjukan kepada pengunjung.

"Antara produk tarikan lain ialah Taman Orkid, Taman Rama-Rama, Taman Tropika, Taman Herba dan Taman Tema Kenyir yang juga dikunjungi ramai," katanya.

Menurutnya, jumlah kedatangan pengunjung ke Tasik Kenyir sentiasa meningkat dengan adanya kepelbagaian produk dan pada tahun ini pihaknya menyasarkan seramai 750,000 orang akan ke situ berbanding tahun lalu yang mencatatkan jumlah 507,502 orang.


Taman Orkid juga ada di Tasik Kenyir. FOTO Ghazali Kori

Katanya, pihaknya yakin mampu mencapai sasaran itu kerana sehingga Jun lalu seramai 269,512 orang dicatatkan berkunjung ke Tasik Kenyir.


Wakil media yang melawat Tasik Kenyir. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 10:51 PM