Rajab Ahad (tengah) menunjukkan peralatan yang digunakan suspek untuk aktiviti pecah rumah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Dua tangkal dipercayai digunakan empat penyamun untuk melindungi diri, bagaimanapun tidak sekebal mana apabila keempat-empatnya ditangkap polis ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Bandar Utama di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 2 pagi menyebabkan keempat-empatnya berusia 21 hingga 25 tahun kini ditahan reman empat hari sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, suspek dipercayai memecah masuk rumah mangsa berusia 30-an menerusi bumbung, malah turut menggunakan tangga yang dibawa sendiri selain senjata.

Antara senjata adalah empat golok dan dawai yang digunakan untuk mengikat mangsa.

“Sebelum kejadian, mangsa tiada di rumah dan pulang ketika suspek berada di dalam rumahnya. Suspek mengugutnya dan cuba mengikat mangsa.

“Namun, mangsa berjaya meloloskan diri dan keluar menerusi pintu hadapan. Dia kemudian menghubungi polis sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Suspek ketika itu menyembunyikan diri dengan seorang berada di dalam longkang dan tiga lagi dalam pembetung berhampiran rumah berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di sini, semalam.

Rajab Ahad berkata, dua tangkal ditemui di dalam poket seluar dua daripada empat suspek itu yang berasal dari daerah ini, Kota Bharu, Tanah Merah dan Tumpat.

Katanya, alat khurafat itu dipercayai suspek dapat melindungi mereka ketika melakukan jenayah dan usaha mengesan jenayah lain dilakukan mereka giat dilakukan.

“Ketika kejadian mangsa hanya sempat membawa keluar sebuah televisyen skrin leper 40 inci,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 9:37 AM