Nor Raidah Awang


Bukit Merah: “Sumbangan ini dapat saya guna untuk menampung keperluan harian kami untuk membesarkan tujuh cucu saya yang kehilangan bapa mereka dan saya berterima kasih kepada Harian Metro.

“Apabila diberitahu Harian Metro akan datang memberikan sumbangan, saya tidak tahu mereka ada program membantu golongan kurang berkemampuan seperti saya,” kata Harun Jeferi.

Harun Jefri, 66, yang tinggal di sebuah rumah serba kekurangan di kampung Belakang Pekan Bukit Merah bersama isteri, Halijah Umar, 60, dan tujuh cucunya yang masih bersekolah menerima kunjungan rombongan Titipan Kasih Harian Metro (TKHM), kelmarin.

Kunjungan bagi menyampaikan barangan keperluan harian serta wang tunai itu sempena penganjuran Kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTBGP) siri pertama di Bukit Merah Lake Town Resort (BMLR), di sini.

Sumbangan itu disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar diiringi Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro yang juga Pengerusi Titipan Kasih, Othman Mamat.

Harun berkata, dia yang bekerja kampung mengambil alih tugas menjaga tujuh cucunya selepas menantunya meninggal dunia empat tahun lalu akibat penyakit leukemia.

“Bukan kami minta kesusahan ini dan kami tiada kuasa melawan takdir Allah, malah menerima segala rezeki pemberian ini dengan hati terbuka, sekurang-kurangnya duka kami terubat.

“Tiada ucapan lain yang dapat saya katakan selain terima kasih kepada Harian Metro, ingatkan golongan seperti kami tiada siapa yang peduli,” katanya.

Harun berkata, hanya Allah yang dapat membalas sumbangan diberikan itu dan berdoa akhbar itu terus maju supaya dapat membantu lebih ramai golongan kurang berkemampuan sepertinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 10:21 AM
Mustapa (kiri) sambil diperhatikan Othman (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Harun (dua kiri).