Ayusliza Azizan
am@hmetro.com.my


POLIS Selangor sedang menyiasat pembabitan anggota lain selain Inspektor polis yang terbabit dalam kes menerima rasuah bagi membebaskan suspek kes culik pengurus syarikat di Rawang, Januari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kes membabitkan anggotanya malah akan mengambil tindakan tegas jika didapati bersalah.

"Kita masih dalam peringkat awal siasatan dan akan menyiasat perkara ini secara keseluruhan untuk mencari siapa lagi yang terbabit malah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak.

"Dalam hal ini, polis telus melakukan tindakan walaupun anggota sendiri yang terbabit malah tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai yang tidak amanah," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Klang Selatan, hari ini.

Mazlan berkata, pegawai polis berpangkat Inspektor yang ditahan Khamis lalu kini ditahan kerja dan tindakan tatatertib akan menyusul.

Inspektor berusia 32 tahun yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah di Gombak ditahan kerana disyaki menerima rasuah melepaskan suspek kes culik.

Pegawai itu direman hingga Khamis ini untuk membantu siasatan.

Januari lalu, polis menahan lima warga tempatan berusia antara 22 hingga 35 tahun selepas didapati terbabit menculik pengurus syarikat pemborong runcit dan pengangkutan berusia 33 tahun di Bandar Country Homes, Rawang.

Polis juga berjaya menemui wang tebusan berjumlah RM300,000 yang diminta suspek daripada keluarga mangsa.

Sementara itu, Pegawai Turus Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Klang Selatan menggantikan Asisten Komisioner Alzafny Ahmad.

Alzafny dilantik menjadi Timbalan Ketua Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 1:19 PM