VETERAN ATM, Sarjan (B) Abu Akop, 64, yang hilang kaki kiri akibat terkena periuk api ketika bertugas turut hadir di MIECC.
NAJIB bersama Rosmah menghulurkan sumbangan untuk Tabung Pahlawan sambil diperhatikan Hishammuddin pada Perhimpunan Veteran ATM 2017 di MIECC, Serdang.
Idris Musa dan Hamizah Badiran


Seri Kembangan: Bukan satu atau bukan dua, tetapi lima khabar gembira buat veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Veteran ATM dan Pelancaran Tabung Pahlawan 2017 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), di sini, semalam.

Pengumuman itu membabitkan inisiatif Bantuan Bakti Negara (BBN), Skim Anuiti Veteran (SAVe), pencen hilang upaya bagi veteran ATM yang tidak mendapat pencen perkhidmatan, insentif veteran kelainan upaya Tabung Pahlawan dan penambahan kuota ibadat haji daripada 100 orang pada tahun sebelumnya kepada 400 orang pada tahun ini.

Selain itu, kerajaan turut memberikan peruntukan istimewa sejumlah RM5 juta untuk Tabung Pahlawan.

Perdana Menteri berkata, pada asasnya syarat penerima BBN adalah berdasarkan kriteria penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) iaitu mereka yang berada bawah kelompok B40.

Beliau berkata, berdasarkan senarai penerima BR1M, sebanyak RM1,200 akan diberikan kepada mereka.

“Ia membabitkan 66,000 veteran ATM tidak berpencen yang akan mendapat faedah sebagai penerima BBN.

“Manakala kepada veteran ATM tidak berpencen yang bukan penerima BR1M, mereka akan menerima RM600, dengan syarat sudah berumur 60 tahun ke atas. Seramai 10,959 veteran tidak berpencen akan mendapat faedah daripada inisiatif BBN,” katanya ketika berucap pada program itu.

Hadir sama, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Tabung Pahlawan; Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Johari Baharum; Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Pengerusi Persatuan Veteran ATM Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor serta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata, bagi inisiatif SAVe, ia tertakluk kepada anggota ATM yang sedang berkhidmat.

Katanya, inisiatif ini membolehkan anggota ATM tetap mendapat inisiatif walaupun anggota terbabit berhasrat berhenti awal daripada perkhidmatan.

“Kerajaan melancarkan skim SAVe untuk memberi pendapatan secara bulanan seumur hidup kepada bakal veteran tidak berpencen seperti mana veteran yang mendapat pencen bulanan.

“Dengan terlaksananya skim SAVe, ia memberi manfaat bulanan kepada mereka.

“Ia juga boleh diserahkan kepada waris yang layak apabila veteran terbabit meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, kerajaan berikrar memberi tumpuan khas kepada kebajikan anggota dan veteran ATM serta ahli keluarga mereka.

Menurutnya, pelbagai inisiatif direncana demi faedah veteran ATM yang banyak berjasa kepada negara.

“Selain inisiatif penambahbaikan yang diumumkan Perdana Menteri itu, kita mempunyai inisiatif sedia ada yang dilaksanakan sebelum ini seperti 1Malaysia Veteran House Repair Programme (1MVHRP), Skim Bantuan Persekolahan, Skim Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam, Skim Bantuan Perubatan (e-mass), Poliklinik Angkatan Tentera, Bayaran Insentif Khas Insurgensi, Skim Bantuan Sara Hidup, Skim Bantuan Bencana Alam dan Program Recognition Prior Experiential Learning (RPEL).

“Kita juga menubuhkan pusat panggilan atau Call Center sebagai saluran khusus untuk menghubungkan veteran ATM kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

“Keyakinan menjaga kebajikan ATM turut disokong Perdana Menteri dan isteri untuk terus mengenang pengorbanan, sumbangan perajurit serta waris mereka,” katanya.

Tambahnya, solidariti dan sifat kekeluargaan antara warga pertahanan masih mantap kerana tanpa kestabilan dan kerukunan bernegara, nescaya usaha membina Malaysia akan terjejas.

“Apa makna memiliki aset ketenteraan paling canggih jika kita gagal membela nasib veteran ATM yang bersabung nyawa dan mencurah keringat demi mempertahankan tanah air ini.

“Saya berikrar menjaga kebajikan veteran serta seluruh ahli keluarga mereka walaupun sedar apa diusahakan ini terlalu kecil dan tidak akan pernah setimpal dengan jasa, bakti dan pengorbanan mereka,” katanya.

Bagi Mohd Anwar, keprihatinan dan kesungguhan Hishammuddin meletakkan aspek kebajikan veteran ATM sebagai keutamaan tertinggi Kementerian Pertahanan amat dipuji serta diucapkan terima kasih.

“Melalui inisiatif yang dilaksanakan, ia amat bermakna buat veteran ATM dan ahli keluarga mereka,” katanya.

Pihaknya turut berterima kasih atas bantuan RM300 yang diberikan kepada veteran berumur 65 tahun yang hidup dalam keadaan daif, hilang upaya dan tidak mempunyai sumber pendapatan.

“Tahun ini syarat penerima bantuan RM300 diperluaskan kepada veteran berusia 60 tahun, mengikut Paras Garis Kemiskinan (PGK) dan Dasar Warga Tua Kebangsaan.

“Selain itu, kutipan Tabung Pahlawan banyak memberi manfaat kepada 3,000 veteran dan bekas tentera kelainan upaya, ditimpa musibah dan anak yatim daripada keluarga veteran yang ditempatkan di Pusat Jagaan Anak Yatim Veteran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 3:32 AM