ANGGOTA AADK memeriksa penagih dadah yang ditahan. FOTO ihsan AADK


EMPAT lelaki ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda di kawasan Flat Paya Nahu, Sungai Petani, hari ini.

Pemangku Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Masiri Abdul Rahman berkata, operasi itu dijalankan 11.30 pagi tadi hasil risikan dua hari lalu selepas penagih berusia 19 hingga 40 tahun menjadikan rumah tidak berpenghuni sebagai port dadah.

Menurutnya, mereka yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda dan hasil ujian saringan air kencing mendapati positif opiat dan metamphetamine.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah ( Rawatan & Pemulihan ) 1983.

"Flat Paya Nahu turut diletakkan sebagai satu kawasan perangi dadah habis-habisan oleh pihak AADK yang juga kawasan berisiko dan perlu diberikan perhatian dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.


LOKASI yang digunakan suspek. Foto ihsan AADK

Masiri berkata, rumah kosong mahupun di tangga kawasan perumahan itu dijadikan kawasan melepaskan gian oleh penagih yang tinggal di kawasan itu serta dari luar.

"Flat Paya Nahu juga dikenal pasti sebagai kawasan yang menjalankan aktiviti proses, menjual air daun ketum yang turut menjadi satu penyumbang kepada penagihan dadah bukan sahaja kepada orang dewasa malah remaja dan pelajar.

"AADK memerlukan kerjasama semua pihak bagi perangi dadah habis habisan bermula dari akar umbi hinggalah kepada punca pemasalahan dadah," katanya.

Beliau berkata, AADK sentiasa berusaha untuk turun ke padang supaya jurang antara AADK dan masyarakat sentiasa berada pada tahap terbaik kerana saling memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 9:24 PM