Tengku Aziz menemuduga pemohon yang mahu menjadi pembadal haji. FOTO Nasharuddin Muhammad
Nasharuddin Muhammad


LEMBAGA Tabung Haji (TH) sudah menyerahkan tauliah kepada 3,700 penduduk tempatan Makkah sebagai pembadal haji untuk melaksanakan ibadat itu pada musim haji kali ini.

Pengarah Operasi Bimbingan 1438 Hijrah Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, jumlah itu sebahagian daripada 5,000 permohonan diterima TH untuk pelaksanaan ibadat itu pada musim haji kali ini.

Menurutnya, baki kira-kira 1,300 pembadal lagi yang akan diupah untuk melaksanakan ibadat itu masih di peringkat temu duga dan saringan sebelum diberikan tauliah.

Katanya, setiap tahun, TH hanya menerima 5,000 permohonan daripada pendeposit yang mahu melaksanakan badal haji untuk waris atau ahli keluarga mereka.

"Jika permohonan diterima lebih daripada jumlah yang ditetapkan, pelaksanaan badal haji itu akan dilakukan pada musim haji berikutnya," katanya pada sidang media di ibu pejabat TH Makkah.

Beliau berkata, setiap permohonan untuk badal haji dikenakan bayaran RM3,000 dan ia sebahagian daripada perkhidmatan nilai tambah yang disediakan TH kepada pendeposit.

Menurutnya, TH akan membayar sebanyak SR2,400 kepada pembadal haji yang diberikan tauliah untuk melaksanakan ibadat itu.

"Dalam hal ini, waris yang mahu melaksanakan badal atau upah haji untuk ahli keluarga yang meninggal dunia dinasihatkan hanya mengupah mereka yang benar-benar mampu melaksanakan ibadat itu mengikut hukum syarak.

"Ini bagi memastikan aspek kesempurnaan dan badal haji yang dilakukan itu mematuhi hukum syarak.

"Jika wang perlu dibayar adalah RM3,000 atau RM5,000 untuk badal haji ini, waris harus membayarnya asalkan pelaksanaannya sempurna untuk si mati juga," katanya.

Katanya, jika bayaran dikenakan tidak munasabah atau terlalu rendah hanya sekitar RM1,500 yang biasa dicaj kepada orang ramai di tanah air, dikhuatiri pelaksanaannya mungkin tidak sempurna.

"Walaupun mereka (pembadal haji) dibayar upah SR2,400, ia masih dikatakan murah, saya tak tahu macam mana kalau di tanah air ada pihak yang hanya mengenakan bayaran RM1,500.

"Kita bimbang sama ada ibadat itu tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna atau lebih teruk mungkin langsung tidak dilaksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 2:27 PM