Anggota SPRM membawa sembilan kakitangan PTG yang dipercayai terbabit dalam kegiatan perlombongan bauksit haram di Komplek Mahkamah Kuantan, semalam.

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah tujuh lokasi bagi menyiasat salah laku berkaitan perlombongan haram bauksit di Kuantan, Pahang.

Menurut sumber, antara kawasan yang digeledah pejabat pelabuhan Kuantan, pejabat kastam sertasyarikat yang dikaitkan dengan aktiviti itu.

“Pelbagai dokumen termasuk borang berkaitan kastam, penyata bank, dokumen eksport serta komputer riba dirampas untuk siasatan lanjut.

“Lokasi lain yang digeledah di rumah semua suspek dan SPRM merampas dokumen seperti akaun bank, bagi tujuan siasatan,” katanya.

Menurut sumber, SPRM menghantar permohonan bagi menyekat pengambilalihan harta mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM 2009.

“Seramai 18 saksi iaitudaripada pemandu lori yang membawa muatan bauksit haram, pengurus, penyelia syarikat serta kerani syarikat diambil keterangan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahya mengesahkan perkara itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan penahanan sembilan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuantan dan seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berhubung salah laku berkaitan perlombongan haram bauksit di Kuantan.

Mereka direman tujuh hari bermula semalam di Mahkamah Majistret Kuantan oleh Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Semua suspek berusia 29 tahun hingga 59 tahun ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 selepas disyaki menerima rasuah melindungi aktiviti perlombongan haram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 4:22 AM