Kereta dan kawasan parkir dalam rumah yang disimbah cat merah. FOTO ihsan pembaca
Fuad Hadinata Yaacob


DUA kereta milik keluarga dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diletakkan di rumahnya di Seksyen 20, Shah Alam disimbah cat merah Sabtu lalu.

Kejadian berlaku kira-kira 5 pagi ketika Ketua Bahagian Penguat kuasa JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Adenan Md Isa dan keluarga sedang tidur.

Adenan, 53, berkata, beliau dikejutkan jiran yang hendak ke surau berdekatan kira-kira 5.30 pagi selepas ternampak dua kereta serta kawasan parkir dalam rumah dipenuhi cat merah.

Menurutnya, kereta jenis Proton Waja diletakkan di luar pagar rumah manakala Proton Exora di dalam parkir rumah.

"Proton Waja disimbah cat dari bonet belakang hingga ke cermin depan manakala Proton Exora pula dari bahagian cermin belakang hingga ke bahagian atas.

"Kawasan parkir dan pagar rumah juga terdapat cat merah," katanya di sini hari ini.

Adenan yang bertukar dari JPJ Selangor ke JPJ WP Kuala Lumpur sejak sembilan bulan lalu mengesyaki perbuatan khianat itu tidak membabitkan pihak luar sebaliknya kakitangan jabatan itu.

"Saya dan keluarga tidak mempunyai musuh termasuk Along atau tonto namun saya syak ada unsur tidak puas hati kakitangan atau ia membabitkan soal persaingan dalam kerja.

"Kejadian ini seolah-olah mahu memberi amaran kepada saya disebabkan cara kerja saya yang agresif selama ini," katanya yang menyatakan tidak menerima sebarang ugutan atau ancaman sebelum ini.

Adenan berkata, beliau mengeluarkan kira-kira RM3,500 untuk kos pembersihan cat bagi kedua-dua keretanya itu.

Menurutnya, kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus bekerja namun perlu lebih berhati-hati selepas ini.

Beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada hari kejadian.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) Hamzah Masri meminta polis melakukan siasatan menyeluruh terutama mengenal pasti dalang yang terbabit dalam kejadian itu.

"Ada berlaku kes seperti ini tetapi kecil dan kejadian ini serius serta perlu disiasat secara menyeluruh," katanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kes berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 9:07 PM