MAHDZIR (tengah) bersalaman dengan perwakilan sebelum merasmikan mesyuarat. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KEMENTERIAN Pendidikan menafikan peruntukan kepada semua sekolah dikurangkan hingga memberi kesan kepada guru untuk membeli peralatan bantuan mengajar.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan yang diberikan setiap tahun mencukupi mengikut jumlah murid atau pelajar.

"Kementerian memberi peruntukan mengikut per kapita murid dan barang yang dibeli oleh guru juga berdasarkan keperluan.

"Jadi, tidak timbul isu peruntukan kurang atau tidak cukup kerana ia diberi terus kepada sekolah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Mas, di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan media berhubung dakwaan sesetengah pihak berhubung peruntukan yang diberi kepada sekolah tidak mencukupi hingga memberi kesan kepada guru untuk membeli peralatan bantuan mengajar termasuk kertas A4.

Mengulas lanjut Mahdzir berkata, mungkin hanya satu atau dua kes terpencil sahaja yang berlaku di sekolah.

"Kita minta ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sama-sama membantu guru besar atau pengetua untuk mengatasi masalah ini jika ia benar-benar berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 9:46 PM