Muhammad Saufi Hassan


Bangi: Penganjuran World #QuranHour pada 31 Ogos ini adalah ‘bidaah hasanah’ iaitu perbuatan ibadah baru yang baik dan tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Timbalan Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Prof Datuk Zakaria Stapa berkata, program itu dibolehkan walaupun ketika zaman Rasulullah SAW tidak ada majlis seumpama itu.

“Ada pihak mengatakan ini perbuatan bidaah yang tiada dalam Islam dan tidak bersandarkan pada Nabi (Muhammad) SAW, ini adalah dakwaan daripada individu yang cetek pengetahuannya.

“Memang diakui, Rasulullah serta sahabat tidak pernah menganjurkan majlis seumpama ini kerana kehidupan mereka sangat rapat dengan al-Quran. Cuba kita lihat keadaan kita sekarang, masyarakat semakin jauh dengan Kitab Suci ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas berhubung kempen promosi World #QuranHour di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, semalam.

Menurutnya, program itu sememangnya baik kerana ia adalah usaha untuk mendekatkan umat Islam supaya berinteraksi dengan al-Quran.

“Jika masih ada pihak yang melemparkan tuduhan terhadap program ini sebagai bidaah dan sebagainya, perkataan bidaah itu sendiri perlu dilihat daripada skop yang luas.

“Ada bidaah hasanah dan bidaah dholalah (perbuatan yang bertentangan dengan Islam). Bukan semua bidaah itu bersifat satu iaitu dholalah, itu satu tanggapan daripada individu mempunyai skop pengetahuan yang kecil,” katanya.

World #QuranHour akan bermula jam 8.30 malam di Dataran Merdeka pada 30 Ogos manakala keesokannya program berkenaan akan diadakan di masjid terpilih seluruh negara sempena Wukuf di Arafah pada 9 Zulhijah yang kebetulan serentak Hari Kebangsaan.

Sepanjang program itu, bacaan ayat suci al-Quran akan diperdengarkan secara serentak selama satu jam. Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) menjadi antara rakan media rasmi program berkenaan.

Antara tokoh dan selebriti yang menyertai program ini adalah Pendakwah Bebas, Datuk Kazim Elias Al-Hafiz, Ameng Spring dan Johan A’saari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 2:54 AM