DR Nooh (kanan) menyerahkan borang wakaf kepada Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Ahmad @ Salim Bachok.
DR Nooh (kanan) menyerahkan borang wakaf kepada Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Ahmad @ Salim Bachok.

Kuala Lumpur: Kerajaan negeri Johor melantik Johor Corporation (JCorp) sebagai ejen pelaburan perniagaan menerusi Waqaf An-Nur Corporation Berhad bagi menaik taraf bangunan Terminal Pengangkutan dan Pasar Awam Larkin Sentral di Johor Bahru membabitkan kos RM85 juta.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Dr Nooh Gadot berkata, tujuan wakaf saham itu diperkenalkan adalah untuk mengumpul dana bagi menampung perbelanjaan membiayai pembangunan menaik taraf bangunan itu.

“Menerusi wakaf saham ini, sebanyak RM85 juta tawaran saham baru akan diperkenalkan membabitkan saham berjumlah 850 juta unit yang ditawarkan pada harga RM0.10 seunit.

“Ia bukan saja untuk menaik taraf dan membaik pulih Terminal Pengangkutan dan Pasar Awam Larkin Sentral tetapi juga untuk pembelian tanah, pembinaan tempat letak kereta bertingkat dan beberapa lot perniagaan yang akan disewa kepada ibu tunggal dan golongan kurang berkemampuan pada kadar sewa yang berpatutan,” katanya pada Majlis Taklimat Wakaf Saham Larkin Sentral di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Jalan Riong, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 6:24 AM