ANGGOTA polis dan ahli KUKENAL melakukan tinjauan di kawasan perairan Kuala Dungun. FOTO Rosli Ilham


LIMA penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kini melakukan kerja mencari nelayan hilang di dua batu nautika dari Kuala Dungun, selepas ada nelayan mendakwa terhidu bau busuk di kawasan itu.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) itu turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kumpulan Keselamatan Nelayan (KUKENAL).

Komandan Operasi JBPM Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azmi Abdul Rahim berkata, beberapa nelayan membuat aduan pagi ini selepas mereka terhidu bau busuk di kawasan itu.

"Beberapa bot nelayan yang keluar memancing itu kemudiannya berpatah balik dan membuat laporan di Bilik Gerakan Operasi di Kuala Dungun, kira-kira 8 pagi.

"Berikutan itu, pasukan SAR ke lokasi yang dimaklumkan dan melakukan kerja menyelam bagi pencarian di dua lokasi dalam jarak 500 meter," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam Rabu lalu, lima nelayan tercampak ke laut selepas bot gentian kaca yang dinaiki mereka terbalik dipukul ombak.

Empat daripada mereka iaitu Mohd Nazri Yaccob, 37; Mohamad Zawawi Mohamed, 27; Che Mohd Afendi Che Ismail, 34, dan Abdul Wahab Zakaria, 44, hilang manakala Mohd Shazrin, 33, yang juga adik Mohd Nazri selamat selepas berjaya berenang ke daratan.

Nelayan berkenaan gagal menyelamatkan diri selepas pegangan mereka pada bot gentian kaca yang dinaiki terlepas apabila kali kedua dipukul ombak.

Bagaimanapun, mayat Mohd Nazri ditemui pada pagi Jumaat lalu kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian bot mereka terbalik itu.

Berita berkaitan:

'Apalah nasib cucu bakal lahir...' [UPDATE]

'Cuaca gelap tak nampak apa-apa'

Mayat nelayan hilang ditemui

4 nelayan dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 1:35 PM