Pegawai dan anggota polis yang ditahan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk dapatkan perintah reman. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


ENAM anggota polis dengan seorang daripada mereka berpangkat Inspektor ditahan kerana memeras ugut dua individu yang menjalankan perniagaan haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, serbuan dijalankan antara 10 malam hingga 3 pagi di sekitar Kuching, Padawan dan Lundu.

Menurutnya, semua suspek berusia antara 25 hingga 53 tahun ditahan di rumah dan tempat kerja oleh pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

"Penahanan suspek dibuat selepas polis menerima dua laporan berhubung kegiatan mereka memeras ugut sejumlah wang daripada dua individu yang menjalankan perniagaan haram.

"Pegawai polis berpangkat Inspektor yang ditahan bertugas di Bahagian Pentadbiran IPK Sarawak manakala lima lagi anggota pangkat rendah bertugas di beberapa unit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching," katanya dalam kenyataan di Kuching, hari ini.

Dev berkata, setakat ini polis masih menyiasat sejak bila suspek melakukan pemerasan ke atas individu berusia 44 dan 65 tahun itu.

Katanya, semua suspek direman hari ini di Mahkamah Majistret Kuching dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 8:59 AM