PELAJAR menyediakan sajian Arab.
HM Digital

Kuantan: “Saya belajar menyediakan beberapa jenis makanan terkenal di Mesir seperti kuftah, salatah dan kacang fool sebelum menyambung pengajian di Universiti Iskandariah (Mesir) selama lima tahun dalam bidang pergigian pada Oktober depan.

“Selain belajar memasak, saya juga perlu mahir menggunakan bahasa Arab pasar yang menjadi bahasa pengantaraan sepanjang berada di negara Asia Barat itu terutama ketika berada di bilik kuliah,” kata Ummihanny Mohd Ariff, 18.

Dia antara 48 pelajar tajaan Yayasan Pahang dan MARA yang mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) di Akademi Pengajian Islam dan Bahasa Arab Kolej Yayasan Pahang (KYP). Program itu sebagai persiapan penuntut sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Iskandariah dan Universiti Yarmouk, Jordan.

Ummihanny berkata, selain mempelajari bahasa Arab yang digunakan masyarakat tempatan, dia didedahkan kepada budaya rakyat negara berkenaan termasuk suasana di universiti dan cara bergaul dengan penduduk setempat.

Lebih menarik, bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang itu berkata, sepanjang lebih sebulan mengikuti program KIBA, penuntut diajar cara menyediakan beberapa jenis makanan ringkas oleh pensyarah yang memiliki kemahiran memasak makanan Mesir.

“Walaupun boleh menerima makanan seperti kuftah, salatah dan kacang fool, nasi tetap menjadi hidangan utama penuntut Malaysia di Mesir. Selain memasak secara berkumpulan saya difahamkan ada kedai yang menyediakan hidangan nasi,” katanya pada program Communicative Language Teaching di Pantai Sepat, di sini, semalam.

Bagi Farouq Ammar Zamri, 18, selepas dua tahun belajar di KYP dalam jurusan Perbankan Islam dan Ekonomi Syariah, dia akan menyambung pengajian di Universiti Yarmouk selama dua tahun sebelum layak memiliki segulung ijazah.

“Saya seronok dapat belajar bahasa Arab pasar digunakan masyarakat Mesir. Walaupun sebelum ini pernah mengikuti kelas bahasa Arab, ia tidak sama dengan bahasa Arab pasar yang diajar sepanjang program KIBA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 4:57 AM