MODEL Kompleks Masjid Al-Quddus yang bakal dibina di Taupo, New Zealand.
Suraya Roslan


Hanya bangunan setinggi dua tingkat. Itu hasil perbincangan diputuskan Majlis Daerah Taupo (TDC), New Zealand untuk membina kompleks masjid di daerah itu.

Perbincangan bersama antara Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) bersama Ketua Perancang Bandar TDC Heather Williams berjalan lancar, semalam selepas beberapa garis panduan untuk membina Kompleks Masjid Al-Quddus di Jalan Kaimanawa, Taupo ditetapkan pihak berkuasa tempatan itu.

Heather berkata, dia menghargai usaha Muslim Care untuk membantu menarik pelancong Islam ke daerah itu dengan pembinaan kompleks masjid berkenaan.

“Ini usaha yang baik, saya sudah melakukan lawatan tapak dan mendapati ia adalah kawasan penduduk.

“Berdasarkan undang-undang bangunan kami, sekiranya tapak atau tanah berkenaan berada dalam kawasan perumahan, bangunan yang dibenarkan dibina hanya setinggi lapan meter atau dua tingkat,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, panduan kerja pembangunan perlu mengambil kira kejiranan dan kesan sampingan kepada penduduk sama ada ia membawa perkara baik dan buruk.

“Bagaimanapun, sebaik diteliti kertas cadangan ini saya rasakan ia sesuatu yang positif selain dapat menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini dan menyediakan kemudahan untuk masyarakat Islam tempatan.

“Kami sedia bekerjasama dengan pihak Muslim Care dan Badan Amanah Islam dan Pembelajaran Taupo untuk merealisasikan impian membina masjid lebih besar dilengkapi pelbagai kemudahan lain,” katanya ketika ditemui selepas perbincangan itu yang berlangsung hampir satu jam di TDC, di sini.

Katanya, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk membenarkan kompleks itu dibangunkan kerana TDC memahami agak sukar untuk umat Islam menunaikan solat dalam jumlah yang ramai.

“Lebih menarik, kompleks ini turut dilengkapi dengan kemudahan belajar dan makanan halal untuk memberi lebih keselesaan kepada pelancong Islam.

“Taupo sememangnya terkenal dengan lokasi strategik dan menjadi tempat persinggahan pelancong berikutan terletak di tengah-tengah antara Auckland dan Wellington,” katanya.

Menurutnya, dia memahami kompleks hanya dapat dibangunkan selepas dana sumbangan orang ramai mencukupi dan berdoa supaya usaha itu mendapat perhatian masyarakat dunia lain.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi tiga akaun Muslim Care iaitu Maybank 564490413882, Bank Islam 14014010147470 dan Bank Muamalat 14010007654717 serta boleh menghubungi Setiausaha Agung Muslim Care Zakaria Abd Latif di talian 0126935938 untuk sebarang pertanyaan.

Selain pertemuan dengan Heather, Muslim Care turut menemui konsultan perancang bandar daripada syarikat Cheal di Taupo, Helen Brosnan untuk berbincang mengenai kemudahan dan keperluan yang wajib untuk sesebuah bangunan di New Zealand.

Sementara itu, Zakaria berkata, dia yang juga seorang arkitek diberi tanggungjawab untuk mereka bentuk Kompleks Masjid Al-Quddus itu selepas didatangi Presiden Badan Amanah Islam dan Pembelajaran Taupo Abdul Kuddus.

“Kami cuba lakukan yang terbaik untuk umat Islam di daerah ini dengan menyediakan kemudahan lengkap seperti lot perniagaan, kelas pengajian dan masjid besar untuk kegunaan mereka.

“Kami juga mengambil perhatian setiap maklum balas diutarakan pihak TDC iaitu mengenai ketinggian bangunan, kemudahan parkir dan beberapa aspek lain ditetapkan undang-undang bangunan dan perbandaran di New Zealand,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 7:27 AM