BANGUNAN tambahan Hospital Jeli yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak di Jeli. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


BAGI memberi kemudahan rawatan kesihatan kepada penduduk Jeli, bangunan tambahan baru Hospital Jeli yang dibina pada 2016 dengan peruntukan RM57 juta dirasmikan, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyempurnakan perasmian itu berkata, bangunan tambahan berkenaan dilengkapi dengan 56 katil.

Katanya, sebelum ini, hospital itu hanya mempunyai 24 katil dan kini dilengkapi dengan jumlah keseluruhan 80 katil.

“Bangunan baru ini akan memberi lebih kepuasan kepada penduduk Jeli yang mendapat rawatan di hospital.

"Jika dahulu, Hospital Jeli antara hospital yang kecil di negara ini, namun kini ia dinaik taraf dan memberi keselesaan kepada pesakit," katanya dalam ucapan sempena Perasmian Bangunan Tambahan Hospital Jeli, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, perkhidmatan kesihatan di negara ini adalah yang terbaik di dunia.

Selain itu, katanya, walaupun Kelantan dipimpin oleh pembangkang, namun Kerajaan Persekutuan tidak boleh mendera dan menghukum rakyatnya.

“Saya memegang prinsip sebagai pemimpin yang akan berlaku adil kepada semua apabila turut membina kemudahan lain termasuk Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) di negeri ini.

"Selain itu, beberapa hospital baru yang dibina iaitu Hospital Bachok, Hospital Kuala Krai yang dijangka siap September ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 5:33 PM