FOTO Nadim Bokhari
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


PESARA tentera meneruskan jelajah solo bermotosikal dikebali Kembara Jalur Gemilang Fasa Dua, petang ini.

Rahim Yusof, 67, sebelum ini memulakan perjalanan dari Sandakan, Sabah, pada 1 Ogos lalu, dan tiba di Kuching, pada Rabu, sempena sambutan kemerdekaan ke-60.

Hari ini, beliau memulakan perjalanan pulang ke Sandakan selepas tiga hari berada di Kuching.

Menurutnya, perjalanan yang merangkumi 4,000 kilometer akan melalui bandar besar dan mengambil kira-kira dua minggu untuk melengkapkan kembara berkenaan.

"Saya mengambil peluang sempena bulan kemerdekaan tahun ini untuk menampilkan kelainan dengan mengembara secara solo.

"Kembara solo ini antara lain membuktikan rasa cinta saya kepada negara dan menghargai nikmat kemerdekaan," katanya ketika ditemui di Plaza Astana, di Jalan Astana, Petra Jaya, hari ini.

Majlis pelepasan kembara solo disempurnakan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof diiringi 25 penunggang kelab motosikal dari Kuching menuju Sri Aman.

Katanya, sepanjang perjalanan dari Sandakan ke Kuching, sambutan yang diberikan masyarakat setempat begitu menggalakkan.

Tambahnya, sepanjang kembara ini, Rahim akan menunggang solo antara tiga hingga empat jam dengan jarak 200 kilometer sehari.

"Saya hanya menggunakan motosikal Demak 90cc dan tiada sebarang masalah dihadapi sepanjang perjalanan. Belanja saya RM2,000 untuk program ini.

"Terima kasih kepada masyarakat dan pihak yang banyak membantu saya menyempurnakan kembara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 6:02 PM