"BERSYUKUR kepada Allah kerana akhirnya impian sejak lama dulu tertunai juga apabila terpilih ke Tanah Suci tahun ini," kata Hasnay Syawal, 73. IHSAN TH
Nasharuddin Muhammad
nash@mediaprima.com.my


"SETIAP kali mendengar azan di Masjidilharam, saya pasti rasa sedih dan sayu sangat.

"Begitu juga bila dapat datang ke Makkah ini, rasa macam hendak duduk terus di sini," kata jemaah cacat penglihatan Hasnah Syawal, 73, dari Kampung Kuala Bakong, Kuala Ketil, Kedah.

Menurutnya, dia memang sudah lama menyimpan impian untuk ke Tanah Suci bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.

"Bersyukur kepada Allah kerana akhirnya impian sejak lama dulu tertunai juga apabila terpilih ke Tanah Suci tahun ini," katanya yang datang diiringi adik lelaki, Mohd Saad Syawal, 69, dan isteri, Manis Sidek, 69.

Ketika ditemui di maktab penginapannya di Hotel Rehab Al-Janadriyah, Hasnah berkata, dia juga bersyukur kerana ramai yang bersedia membantunya untuk ke masjid.

"Setiap kali mahu ke Masjidilharam, ada orang yang akan membantu berjalan bersama atau menaiki kenderaan.

"Tidak susahlah, ramai yang tolong saya. Petugas TH juga bagus sebab banyak bantu," katanya.

Katanya, dia memang sudah lama mendaftar untuk menunaikan haji dan mengumpul wang.

"Masa mula dapat maklumat daripada Lembaga Tabung Haji (TH) yang saya terpilih, kelam-kabutlah untuk buat persiapan.

"Saya mendaftar sudah lama dan kumpul sikit-sikit termasuklah ada duit pusaka peninggalan keluarga, dapatlah saya ke sini. Seronok tidak tahu hendak cakap," katanya.

Hasnah juga mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang banyak membantunya untuk datang ke sini.

Sementara itu, Manis berkata, dia tidak berdepan masalah menjaga kakak iparnya dan sentiasa bersama.

"Petugas TH juga selalu beri ingatan supaya tidak terlepas genggaman tangan Hasnah. Senang menjaganya sebab apa yang kita cakap, dia akan ikut.

"Kali pertama kami melakukan umrah wajib, baru buat satu pusingan sudah kena rempuh. Kami tidak dapat meneruskannya.

"Kemudian pada waktu malam, kami cuba sekali lagi dan saya menolaknya dengan kerusi roda dan membuat tawaf di bahagian bawah dekat Kaabah. Alhamdulillah, kami dapat lakukannya," katanya.

Menurutnya, sebaik menyatakan hasrat mahu menjadi pengiringnya, dia sudah bersedia dengan apa juga kemungkinan.

"Doakanlah yang terbaik untuk kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 11:32 AM