Kapal korek yang bersauh tanpa kebenaran. FOTO ihsan APMM
Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan 11 lelaki warga China dan sebuah kapal korek yang bersauh tanpa kebenaran kira-kira lima batu nautika barat laut Tanjung Piandang, tengah hari semalam.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari itu, bot APMM melakukan rondaan dan pemeriksaan bot serta kapal di sekitar perairan Pulau Pinang dan mengesan sebuah kapal korek pasir.

Pengarah Maritim Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Kapten Maritim Rozali Mohd Said berkata, pihaknya mengesyaki berlaku aktiviti pengorekan pasir di kawasan yang tidak dibenarkan.

Beliau berkata, selepas diperiksa didapati kapal berkenaan hanya melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran di luar batas pelabuhan Jabatan Laut Malaysia.

"Kes akan disiasat mengikut Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (Merchant Shipping Ordinance) MSO 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 11:35 AM