Anggota APMM membantu memindahkan bayi dari bot ke ambulans sebelum dihantar ke Hospital Kudat. FOTO Ihsan APMM
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat melakukan pelayaran ihsan membawa bayi lelaki dilahirkan pramatang yang dijangkiti kuman dari Karakit Pulau Banggi ke Hospital Kudat, Kudat, semalam.

Pelayaran ihsan menggunakan Bot Adal 03 itu berlepas dari Jeti Karakit jam 11.20 pagi dan tiba di Jeti Marina Kudat, di sini, 45 minit kemudian.

Bayi berusia tujuh bulan yang mengalami jangkitan kuman pada tali pusat dan disyaki ada jangkitan kuman dalam saluran darah itu kemudian dipindahkan ke ambulans dan seterusnya dihantar ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut.

Ibu bayi terbabit Norshila Abdul, 42, dan suaminya Ramli Mujainal, 45, turut serta dalam pelayaran berkenaan.

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.15 pagi daripada Dr Wong Biing Sheng yang bertugas di Klinik Kesihatan Karakit, Pulau Banggi, mengenai perkara itu.

"Doktor itu memaklumkan memerlukan bot untuk menghantar bayi lelaki yang mengalamai kuman pada tali pusat serta disyaki ada jangkitan kuman dalam saluran darah ke Hospital Kudat dengan segera memandangkan bot sedia ada masih rosak.

"Hasil maklumat itu, saya mengarahkan Bot Adal 03 ke lokasi bagi memberi bantuan memindahkan bayi terbabit ke Hospital Kudat," katanya di sini, hari ini.

Zubil berkata, anggota Bot Adal 03 turut membantu memindahkan bayi itu dari bot ke ambulans.

"Bayi itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil sebelum mendapat rawatan susulan di Hospital Kudat.

"APMM bersedia setiap masa memberi bantuan kepada masyarakat jika berlaku kecemasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 12:55 PM