Ahmad Bashah (kiri) menziarahi Aminuddin di kediamannya di Taman Kampung Padang, Jitra. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


EXCO Kedah Datuk Aminuddin Omar tetap akan menghadiri Perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) esok walaupun masih bersedih dengan kehilangan anak sulungnya yang terbabit dalam kemalangan semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, Muhammad Irfan Aminuddin, 20, maut bersama rakannya, Wan Qhuzairie Wan Cik, 27, selepas kereta pacuan empat roda, Toyota Hilux dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 12.7 Lebuhraya PLUS, Changlun berhampiran Kampung Bendang Perang, di sini.

Aminuddin berkata akan menghadiri sidang DUN itu namun akan berbincang terlebih dahulu dengan Speaker DUN.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM), pihak hospital serta orang ramai kerana membantu menguruskan jenazah anaknya sehingga selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Hijrah malam semalam.

"Terima kasih kepada semua yang terbabit dalam proses pengebumian anak saya... Insya-Allah saya akan hadir ke dewan esok.

"Bagaimanapun saya akan berbincang dengan Speaker DUN bagaimana dengan keadaan esok," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini.

Ahmad Bashah yang tiba di kediaman Aminuddin di Taman Kampung Padang, Jitra 11.50 pagi meluangkan masa kira-kira 20 minit dan menyampaikan ucapan takziah.

"Saya ucap takziah dan minta keluarga Aminuddin bersabar dengan pemergian anak sulungnya.

"Semalam saya ada kursus di Janda Baik, Pahang. Saya dimaklumkan mengenai perkara ini petang semalam, jadi pagi ini saya bertolak balik dan menziarahi keluarganya.

"Saya difahamkan jenazah selamat dikebumikan kira-kira jam 11.30 malam tadi, segala-galanya berjalan lancar," katanya.

Berikutan kejadian itu, Ahmad Bashah memberikan cuti rehat kepada Aminuddin namun Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan negeri itu masih mahu menghadiri Perasmian Sidang DUN esok.

Portal Berita Harian Metro semalam melaporkan Muhammad Irfan bersama Wan Qhuzairie maut selepas kereta pacuan empat roda, Toyota Hilux dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 12.7 Lebuhraya PLUS, Changlun berhampiran Kampung Bendang Perang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, difahamkan kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang dari Changlun selepas membeli lauk tambahan kenduri yang tidak cukup di Dewan Jitra, di sini, namun ketika kejadian hujan lebat, menyebabkan kenderaan dipandu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pokok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 7:10 PM