Antara warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu serbuan Bahagian Anti Penganas E8 Cawangan Khas Bukit Aman di pusat perniagaan Nilai 3 hari ini. FOTO Adzlan Sidek
Khairul Najib Asarulah Khan
am@hmetro.com.my


SERAMAI 350 warga asing ditahan Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman menerusi operasi bersepadu yang diadakan di Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai, hari ini.

Operasi selama lebih tiga jam bermula kira-kira jam 3 petang itu memberi tumpuan mengesan warga asing yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

Selain E8, operasi turut disertai Unit Tindakan Khas, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara, Pasukan Simpanan Persekutuan, Unit Pemusnah Bom, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Ketua Penolong Pengarah E8 Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua warga asing dari Pakistan, Afghanistan, Bangladesh dan Nepal terbabit ditahan bagi proses saringan.

"Operasi itu dilakukan susulan operasi di Masjid India, Kuala Lumpur, minggu lalu. Kita mengesyaki warga asing yang bertapak di kawasan berkenaan berpindah dan bersembunyi bersama warga asing lain di kawasan ini.

"Kita mengesyaki mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS Wilayah Khorasan yang berpangkalan di sempadan Pakistan-Afghanistan. Kemungkinan mereka terbabit dalam kumpulan itu adalah tinggi," katanya kepada pemberita selepas operasi itu, hari ini.

Katanya, pihaknya turut merampas empat bilah pedang dan satu tukul besi.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, untuk pemeriksaan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 8:32 PM