Sebahagian daripada 300 jemaah haji termasuk RKJ menyertai Majlis bacaan Yasin dan Tahlil, Doa Kesyukuran dan Solat Hajat supaya majlis istiadat perkahwinan Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, esok, lancar. FOTO ihsan RKJ
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


LEBIH 300 jemaah haji termasuk Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) menyertai Majlis bacaan Yasin dan Tahlil, Doa Kesyukuran dan Solat Hajat supaya majlis Istiadat Perkahwinan Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, esok, lancar.

Ketua Rombongan Haji RKJ Kamalludin Jamal berkata, program berkenaan diadakan di tempat penginapan jemaah RKJ di Abraj Janadriah di Makkah 1.30 tengah hari ini (waktu tempatan).

Katanya, majlis berkenaan diketuai Penyelaras Jemaah Haji Lelaki RKJ, Ustaz Hanafiah Abd Razak.

"Tujuan program ini diadakan semoga majlis Istiadat Perkahwinan Diraja Tunku Tun Aminah dan bakal suami Dennis Muhammad Abdullah berjalan lancar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mereka turut mendoakan keselamatan jemaah haji sepanjang 47 hari di sana.

"Semoga jemaah haji memperoleh haji mabrur, keselamatan ahli keluarga ditinggalkan dan kecemerlangan anak yang menduduki peperiksaan.

"Malah ia juga bagi memohon kesejahteraan keselamatan dan kemakmuran rakyat Johor dan kecemerlangan dalam pentadbiran dan pemerintahan kerajaan Johor," katanya.

Turut serta, Penolong Ketua Rombongan RKJ, Ustaz Mohd Azhar Samadun; Ketua Pembimbing Jemaah Haji Lelaki RKJ, Ustaz Adam Mohamad dan Pembimbing Jemaah Haji Wanita RKJ, Ustazah Atikah Hashim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 10:22 PM