RUMAH penduduk di Kampung Mansiang yang dinaiki air. FOTO ihsan pembaca
Mohd Ruzaini Zulkepli dan Amniera Naziera Amran


PENDUDUK lebih 20 rumah di Kampung Mansiang, Menggatal, Kota Kinabalu terperangkap kira-kira 30 minit selepas kawasan berkenaan dilanda banjir kilat, pada 5 petang hari ini.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pusat pemindahan dibuka dan anggota bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malalaysia (APM) masih menjalankan pemantauan di lokasi banjir.

Seorang penduduk Melson Jood, 32, berkata, kawasan kediaman mereka mula naik air ketika hujan lebat kira-kira jam 2 petang menyebabkan air sungai berhampiran naik dan menenggelami beberapa kawasan.

"Air sungai naik mendadak sehingga memasuki kawasan rumah kira-kira 5 petang. Saya tidak sempat mengalihkan dua kereta.

"Saya tidak dapat keluar kerana air berada di atas paras pinggang dan kebanyakan penduduk kampung terperangkap," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Melson berkata, ketika kejadian itu, dia bersama isteri dan tiga anaknya masing-masing berusia lapan bulan, tiga tahun dan lima tahun berada di rumah.

"Saya khuatir akan keselamatan mereka tetapi bernasib baik banjir hanya berlangsung selama kira-kira 30 minit dan air kembali surut jam 5.30 petang.

Pegawai operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Zulfadli Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4 petang dan sebuah jentera membabitkan tujuh anggota dikerah ke lokasi kejadian.

"Pemantauan sedang dilakukan bagi membantu jika ada mangsa yang terperangkap," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, hujan berterusan sejak jam 3 petang tadi menyebabkan puluhan kenderaan terkandas selepas Jalan Taipakkung berhampiran Perpustakaan Negeri Sabah Penampang, Penampang dinaiki air sehingga paras lutut.

Ketua BBP Penampang Mohd Akramin Sakirun berkata, pihaknya kini menjalankan pemantauan rapat di beberapa kawasan yang terjejas akibat banjir kilat di daerah berkenaan.

"Kita akan beroperasi selama 24 jam sepanjang musim hujan ini memandangkan beberapa kawasan terdedah dengan risiko banjir kilat sejak dua hari lalu.

"Setakat ini, bomba tidak menerima sebarang panggilan berhubung insiden kecemasan atau pemindahan penduduk terjejas, namun kita akan sentiasa berjaga-jaga dalam menghadapinya termasuk melakukan pemantauan rapat," katanya.

Kejadian banjir kilat ini adalah yang ketika dalam tempoh tiga hari membabitkan kawasan rendah di dua daerah berkenaan susulan hujan lebat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 8:36 PM