MHD Amin (tiga dari kanan) meletakkan Jalur Gemilang di motosikal yang menyertai konvoi.

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengkaji syarat pembaharuan lesen agar pemilik premis di ibu kota wajib memasang Jalur Gemilang di premis masing-masing.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, inisiatif itu bagi menggalakkan orang ramai terutama pemilik premis perniagaan dan bangunan memasang Jalur Gemilang, sekali gus menyuntik semangat meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-60.

Ia berikutan sikap degil dan kurang peka masyarakat mengenai pemasangan bendera meskipun ia diberi percuma.

“Berbanding di luar negara contohnya di Amerika Syarikat dan Indonesia, mereka mengambil inisiatif memasang bendera di premis masing-masing, malah berbangga dengan kemerdekaan negara mereka.

“Warga di ibu kota seharusnya memiliki semangat patriotisme meskipun hanya dengan mengibarkan bendera,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur 2017, di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan 1,500 unit Jalur Gemilang pelbagai saiz daripada 55,000 unit kepada agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan sekolah sekitar Wilayah Persekutuan sempena bulan kemerdekaan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 5:35 AM