ANGGOTA bomba memotong pokok limau yang tumbang akibat ribut.
HM Digital

Sekinchan: Warga sebuah tadika di pekan Sekinchan, di sini, panik apabila sebatang pokok limau setinggi tiga meter tumbang akibat angin kencang sehingga menyebabkan laluan utama kawasan itu turut terganggu, semalam.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian kira-kira jam 11.15 pagi, murid sedang menjalani sesi pembelajaran sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat akibat pokok tumbang di dalam kawasan tadika.

Menurutnya, ada murid turut keluar dari kelas bagi melihat sendiri kejadian berkenaan.

“Guru terpaksa mengawal pergerakan murid supaya tidak menghampiri kawasan itu kerana bimbang berlaku kejadian buruk. Mujur anggota bomba bertindak pantas mengawal keadaan itu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan berkata, sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.29 pagi.

“Setibanya di lokasi, kita mendapati pokok limau merintangi sebahagian besar jalan yang menjadi laluan utama tadika terbabit.

“Kita mengambil masa 40 minit untuk memotong setiap bahagian pokok dan membuangnya ke kawasan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 5:40 AM