Sultan Mizan (tiga kanan) diiringi Wilfred Madius(dua kanan), Ahmad Razif (dua kiri) dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar (kiri) menyampaikan replika kepada Johan Pertandingan Antartika Lestari Video Kreatif dari Sekolah Menengah Kebangsaan Cukai pada majlis Perasmian 7th Malaysian International Seminar On Antarctica (MISA7) di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu. FOTO MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Helmy Abd Rahman


KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan membentangkan Akta Kutub Malaysia di Parlimen bagi memberi peluang lebih ramai saintis di negara ini melakukan penyelidikan dan penerokaan di Kutub Utara serta Selatan.

Menterinya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, akta itu akan dibentangkan di Parlimen selepas draf mengenainya diteliti dan diluluskan Jabatan Peguam Negara.

"Tujuan utama pembentangan akta ini ialah untuk menubuhkan Institut Sains Polar Malaysia yang berperanan melonjakkan pembabitan negara melakukan penyelidikan dan penerokaan di Kutub Utara dan Selatan.

"Sekiranya draf ini mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara, ia akan dibentangkan di Parlimen untuk digubal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Seminar Antarabangsa Malaysia Mengenai Antartika kali ketujuh di Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga penaung Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM).

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Ismail; Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Datuk Mohd Zuber Embong; Pengerusi Program Penyelidikan Antartika Malaysia, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tranformasi kerajaan, A Latiff Awang.

Wilfred Madius berkata, akta itu perlu diwujudkan berikutan keanggotaan bersejarah negara dalam Perjanjian Antartika yang ditandatangani pada 31 Oktober 2011.

"Keanggotaan negara dalam perjanjian ini membolehkan saintis negara terbabit secara langsung untuk melakukan semua penyelidikan di benua Antartika tanpa melalui negara lain," katanya.

Menurutnya, setakat ini negara sudah menghantar 120 saintis ke benua Antartika untuk melakukan penyelidikan, tetapi terpaksa melalui negara anggota lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 6:13 PM