Dennis mengucup dahi Tunku Tun Aminah selepas Istiadat Akad Nikah pasangan pengantin diraja di Istana Bukit Serene.
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Sebuah video berdurasi pendek menjadi hadiah sempena perkahwinan pasangan diraja, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan suaminya, Dennis Muhammad Abdullah yang berlangsung pada 14 Ogos lalu.

Saat indah Tunku Tun Aminah dan Dennis Muhammad itu dikongsikan menerusi video berdurasi lima minit di laman rasmi Facebook (FB) The Royal Johor.

Saat bahagia itu dikongsikan menerusi tajuk ‘Video sekitar Istiadat Akad Nikah Yang Amat Mulia (YAM) Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim dan Encik Dennis Muhammad Abdullah di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada 14 Ogos 2017.’

Antara babak menarik perhatian netizen dikongsikan The Royal Johor termasuk istiadat akad nikah di mana Dennis Muhammad melafazkannya dengan sekali lafaz dalam bahasa Melayu.

Terdahulu, video perkataan Royal Johor Wedding, Istiadat Perkahwinan Diraja membuka tirai video pendek dikongsikan dengan diiringi muzik latar.

Seterusnya, beberapa sudut di istana dipaparkan termasuk menampilkan pasangan diraja itu mengenakan Baju Kurung Teluk Belanga dan Baju Melayu Teluk Belanga serba putih dengan Dennis Muhammad mengenakan songkok.

Terdahulu, berlangsungnya istiadat pertunangan dan majlis itu disaksikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, ahli keluarga dan rakan terdekat pasangan Diraja itu.

Turut berangkat Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam.

Puteri tunggal Sultan Johor dan suaminya itu dinikahkan Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin yang diperkenankan Sultan Ibrahim Iskandar untuk menjadi wakil rasmi baginda di majlis itu.

Paling menyentuh perasaan apabila Tunku Tun Aminah dilihat mengesat matanya dengan tisu saat disahkan bergelar isteri kepada Dennis Muhammad.

Selesai istiadat akad nikah, Dennis Muhammad dibawa ke bilik tingkat atas istana bagi menyempurnakan istiadat menyarung cincin dan mengucup dahi Tunku Tun Aminah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 5:44 AM