NAZRI (dua kanan) bertukar MoU dengan Nidzam (tiga kiri) pada Majlis Menandatangani MoU antara JPJ dan Jabatan Pembangunan Kemahiran. FOTO Nursyahirah Marzuki
Nursyahirah Marzuki


PENGGUNA jalan raya yang tidak membayar kompaun dikeluarkan Sistem Penguatkuasa Automatik (AES) dalam tempoh ditetapkan akan diambil tindakan mahkamah.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron berkata, pihaknya sedang menyemak pengguna jalan raya yang tidak membayar kompaun AES sejak 15 April lalu untuk dikenakan tindakan mahkamah.

"Kita sudah menerima arahan dari Peguam Negara untuk membawa mereka yang tidak membayar kompaun AES dalam tempoh ditetapkan ke mahkamah.

"Pengguna jalan raya yang dikenakan saman AES hanya perlu membayar kompaun sebanyak RM150 namun, sekiranya mereka gagal untuk membayar dalam tempoh ditetapkan kita akan bawa ke mahkamah dan denda tidak melebihi RM2,000," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara JPJ dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya hari ini.

Pada majlis itu, JPJ diwakili Nazri manakalan JPK diwakili Ketua Pengarahnya Nidzam Kamarulzaman.

Dalam pada itu, Nazri berkata, sehingga kini pihaknya belum membawa mana-mana pengguna jalan raya ke mahkamah tetapi anggotanya sedang giat memburu mereka yang gagal menjelaskan bayaran kompaun terbabit.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat beberapa lokasi kamera AES yang akan merakam gambar bahagian belakang kereta untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat.

"Teknologi AES ini juga boleh merakam gambar bahagian belakang kereta untuk memberi maklumat yang lebih jelas termasuk jenis model dan nombor pendaftaran kenderaan.

"Kita hanya letakkan kamera ini dibeberapa lokasi yang bersesuaian sahaja mengikut keadaan dan keperluan kawasan berkenaan," katanya.

Pada 15 April lalu, JPJ memperkenalkan sistem Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) bagi membantu mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian di jalan raya yang hanya melibatkan kesalahan had laju dan pelanggaran isyarat lampu merah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 12:19 PM