IHSAN APMM
Zuliaty Zulkiffli


BOT nelayan jenis tangguk siput ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Kuala Kedah kerana melanggar syarat lesen, awal pagi ini.

Pengarah APMM Pangkalan Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, anggotanya mengesan bot kelas A itu dalam keadaan mencurigakan pada 2.15 pagi, sebelum menahan bot itu lima minit kemudian.

Beliau berkata, bot ditahan pada jarak 0.5 Batu Nautika Timur Pulau Bunting Yan dan tiga nelayan warga tempatan berusia antara 41 hingga 49 tahun yang bekerja di atas bot turut ditahan.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot itu melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) iaitu melanggar syarat lesen kerana beroperasi di luar waktu ditetapkan.

“Jabatan Perikanan cuma membenarkan mereka beroperasi dari 6 pagi hingga 6 petang.

"Hasil tangkapan kedua-dua bot siput terbabit dianggarkan berjumlah 10 kilogram turut dirampas," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahmad Kamal berkata, bot itu kemudian dibawa ke jeti Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk siasatan dan pendakwaan.

Oleh itu, beliau berharap kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim yang berlaku di perairan negara ini.

"Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan di talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Pangkalan Kuala Kedah di 04-731 0579," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 3:49 PM