Mohd Rawi (kiri) menerima sumbangan wang tunai daripada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Aminuddin Omar untuk membeli lembu. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Mohd Rawi (kiri) menerima sumbangan wang tunai daripada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Aminuddin Omar untuk membeli lembu. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Muhaamad Hafis Nawawi


KERAJAAN Kedah kesal isu program pemutihan perkahwinan rentas sempadan yang diumumkan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini disalah tafsir sehingga tular dan mendapat kecaman di media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, beliau membaca komen dan penulisan Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin serta Kumpulan Sister In Islam (SIS) yang jelas tidak memahami isu sebenar.

Menurutnya, kedua-dua pihak terbabit memberi maklum balas seolah-olah mendakwa Kedah menggalakkan perkahwinan poligami tanpa mengikut syarat yang ada dalam Enakmen Keluarga Islam Negeri Kedah.

"Malah penulisan mereka juga menjadi tular sehingga disalah erti sedangkan mereka tidak memahami isu sebenarnya dan tidak mendapat penerangan tepat daripada saya sendiri.

“Pemutihan perkahwinan rentas sempadan itu dicadangkan selepas kita mendapat banyak aduan daripada rakyat Kedah berkenaan ramai pasangan yang bukan saja berkahwin dua tetapi perkahwinan pertama sama ada sesama warga tempatan atau berkahwin warga Thailand menghadapi masalah mendapatkan sijil nikah dan sijil kelahiran anak," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Permit Lembu Korban di Seri Mentaloon, Alor Setar, hari ini.

Mohd Rawi berkata, mereka yang berkahwin di negara jiran apabila memiliki anak mempunyai kesukaran mendapatkan sijil kelahiran kerana perkahwinan tidak didaftarkan di sini.

"Jadi kita mahu memastikan isteri memperoleh sijil nikah sah dan anak mendapat kad pengenalan kerana ketiadaan dua dokumen terbabit akan menyukarkan pelbagai urusan,” katanya.

Zuraida sebelum ini mengeluar kenyataan membantah cadangan itu bagi memastikan hak isteri pertama dan anak tidak diabaikan apabila memberi kebenaran berpoligami kepada suami.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 5:37 PM