Ekhwan Haque Fazlul Haque


POLIS masih menunggu keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian murid yang dipukul murid lain di Kapit, semalam.

Pesurujayah Polis Sarawak Datuk Amer Awal berkata, pihak Hospital Sibu perlu menunggu pakar patalogi dari Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menjalankan bedah siasat ke atas Jackson Nuing Awe, 7, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ibun.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan bedah siasat dapat dijalankan dalam tempoh sehari dua lagi.

"Polis masih menunggu keputusan bedah siasat ke atas mangsa kerana pakar patalogi dari HUS akan datang ke Sibu untuk menjalankan prosedur berkenaan," katanya, hari ini.

Amer berkata, setakat ini polis sudah mengambil keterangan tiga murid yang tinggal bersama mangsa di asrama sekolah berkenaan.

Katanya, hasil keterangan yang diperoleh adalah positif bahawa suspek yang berusia 12 tahun melakukan perbuatan itu pada Isnin lalu.

"Murid tahun enam itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis, semalam selepas selesai memberi keterangan dan beliau mengakui perbuatan itu dilakukan kerana mangsa mengejeknya," katanya.

Difahamkan, mangsa tinggal bersama empat murid lain termasuk suspek di asrama sekolah berkenaan yang mempunyai keseluruhan 16 orang murid.

Harian Metro semalam melaporkan murid tahun satu SK Nanga Ibun di Kapit meninggal dunia selepas dipukul senior.

Mangsa meninggal dunia kira-kira jam 3.30 petang ketika menerima rawatan lanjut di Hospital Sibu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pasukan khas diketuai Ketua Polis Daerah Kapit Deputi Superintendan Freddy Bian akan memantau siasatan.

Berita berkaitan:

Murid pukul murid berakhir ajal

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 2:09 PM